
Kalau ditanya kepada saya, perlukah kita melangsaikan hutang rumah dengan cepat? Jawapan saya, tidak semestinya. Terutamanya kalau kita masih mempunyai hutang lain seperti kad kredit dan personal loan. Bagi saya, sebelum fikir hendak cepat habiskan hutang rumah, kita perlu lihat keseluruhan kedudukan kewangan kita terlebih dahulu.
Hutang rumah biasanya adalah komitmen jangka panjang. Tempohnya mungkin 20 hingga 35 tahun. Memang seronok kalau dapat habiskan lebih awal. Tetapi kalau pada masa yang sama kita masih mempunyai baki kad kredit atau personal loan, saya lebih suka memberikan keutamaan kepada hutang-hutang tersebut terlebih dahulu.
Sebabnya mudah. Saya mahu selesaikan hutang yang lebih membebankan kewangan dan cash flow terlebih dahulu. Tidak banyak gunanya saya membayar tambahan RM500 atau RM1,000 kepada pinjaman rumah setiap bulan tetapi dalam masa yang sama masih bergelut membayar kad kredit atau hutang peribadi.
Kaedah yang saya suka adalah Debt Snowball. Caranya, saya senaraikan hutang daripada baki paling kecil kepada paling besar. Saya bayar minimum untuk hutang-hutang lain dan fokus lebihan duit kepada hutang yang paling kecil. Apabila hutang pertama selesai, jumlah bayaran tersebut saya pindahkan pula kepada hutang seterusnya. Lama-kelamaan, jumlah bayaran menjadi semakin besar seperti bola salji.
Bagi saya, kelebihan kaedah ini bukan sekadar matematik. Ia juga tentang momentum dan psikologi. Apabila satu hutang berjaya ditutup, kita nampak progress. Ia memberikan motivasi untuk terus menyerang hutang seterusnya. Walaupun kaedah membayar hutang berkadar faedah tertinggi dahulu mungkin menjimatkan lebih banyak kos secara matematik, saya lebih selesa dengan Snowball kerana kemenangan kecil membantu saya kekal konsisten.
Selepas hutang kad kredit dan personal loan selesai, barulah saya akan melihat semula hutang rumah. Ketika itu cash flow bulanan juga sepatutnya lebih baik. Duit yang sebelum ini digunakan untuk membayar hutang lain boleh digunakan untuk menambah bayaran rumah, meningkatkan simpanan atau membina pelaburan mengikut keutamaan kewangan ketika itu.
Kesimpulannya, jangan terlalu terburu-buru mahu menjadi bebas hutang rumah tetapi masih dibebani hutang lain. Susun keutamaan terlebih dahulu. Bina dana kecemasan asas, kawal hutang baru dan gunakan kaedah seperti Debt Snowball untuk menyelesaikan hutang satu demi satu. Matlamatnya bukan sekadar untuk cepat habiskan pinjaman rumah. Matlamat yang lebih besar adalah untuk membina cash flow yang sihat dan kehidupan kewangan yang mempunyai lebih banyak pilihan.
P/S : Debt Snowball mengutamakan momentum, manakala kaedah Debt Avalanche (kadar faedah tertinggi dahulu) biasanya lebih menjimatkan kos faedah. Mana satu lebih baik? Depend kepada keutamaan kita. Mintalah advice dengan orang yang lebih tahu. InsyaAllah, ia akan lebih membantu.
#BapakLabur
Leave a comment