Cabaran Mengurus Masa Antara Kerja, Keluarga dan Bisnes

Cabaran paling besar dalam hidup saya sekarang bukan mencari idea atau peluang. Cabaran saya adalah masa. Saya perlu membahagikan masa antara kerja hakiki, keluarga, bisnes dan diri sendiri. Bila saya tengok semula apa yang saya lakukan setiap minggu, boleh di katakan sebahagian besar daripadanya banyak dihabiskan untuk kerja hakiki saya.

Saya selalu berpegang pada pendapat yang bekerja keras itu penting. Kerja adalah amanah dan sumber rezeki untuk keluarga. Tetapi ada masanya saya terlalu fokus untuk memastikan semuanya selesai sehingga kerja mula mengambil ruang yang sepatutnya diberikan kepada perkara lain. Balik ke rumah, fikiran masih tentang kerja. Ada masa laptop dibuka semula pada waktu malam. Hujung minggu juga kadang-kadang masih memikirkan perkara yang belum selesai.

Dalam masa yang sama, saya juga mempunyai keluarga. Anak-anak semakin membesar. Masa bersama mereka hari ini tidak akan datang kembali. Kita mungkin boleh menggantikan duit yang hilang, tetapi kita tidak boleh membeli semula masa yang sudah berlalu. Sebab itu saya semakin sedar bahawa memberikan masa kepada keluarga juga satu bentuk kejayaan.

Saya juga mempunyai bisnes dan beberapa impian yang sedang saya bina untuk masa hadapan. Masalahnya, apabila terlalu banyak tenaga diberikan kepada kerja, baki tenaga untuk membina impian sendiri menjadi semakin sedikit. Bila mula nak focus pada impian diri, saya dah terlalu penat untuk memulakannya.

Daripada situ saya belajar satu perkara. Mengurus masa sebenarnya adalah tentang mengurus keutamaan. Kita tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk melakukan semuanya. Kita perlu memilih apa yang penting, menetapkan batas dan belajar mengatakan “cukup” apabila tiba masanya. Tidak semua perkara perlu diselesaikan hari ini.

Saya sendiri masih belajar mencari keseimbangan. Ada hari saya berjaya, ada hari saya kembali tenggelam dengan kerja. Tetapi sekarang saya cuba melihat kejayaan dengan perspektif yang lebih luas. Saya tidak mahu berjaya dalam kerjaya tetapi kehilangan masa bersama keluarga. Saya juga tidak mahu terlalu sibuk mengurus kehidupan hari ini sehingga tidak sempat membina kehidupan yang saya mahukan pada masa hadapan.

Akhirnya, kita semua diberikan 24 jam yang sama setiap hari. Bezanya adalah bagaimana kita memilih untuk menggunakannya. Kerja itu penting. Keluarga penting. Impian kita juga penting. Kita mungkin tidak akan mendapat keseimbangan yang sempurna, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu sedar ke mana masa kita pergi. Kerana bagaimana kita menggunakan masa hari ini, sedikit demi sedikit, akan menentukan kehidupan yang kita miliki pada masa hadapan.

Begitulah….

#BapakLabur

Leave a comment