
Kalau umur anda masih bawah 30 tahun dan baru memulakan kerjaya, jangan terlalu risau kalau perjalanan anda nampak perlahan. Tahun-tahun awal bekerja sebenarnya adalah tempoh untuk membina asas. Pada pandangan saya, ada lima perkara yang penting yang anda perlu ada iaitu bersabar, terus belajar, kuat berusaha, jaga reputasi dan mula urus kewangan dari awal. Apa yang kita bina hari ini mungkin belum nampak hasilnya, tetapi ia boleh menentukan kedudukan kita 10 tahun akan datang.
Bersabar dengan proses. Jangan terlalu cepat kecewa apabila gaji masih kecil, belum dinaikkan pangkat atau melihat kawan lain lebih cepat berjaya. Setiap orang mempunyai perjalanan yang berbeza. Gunakan tahun-tahun awal untuk mengumpul pengalaman. Kadang-kadang apa yang kita anggap sebagai perjalanan yang lambat sebenarnya sedang menyediakan kita untuk tanggungjawab yang lebih besar.
Percayalah…
Jangan pernah berhenti belajar. Jangan hanya belajar perkara yang berkaitan dengan skop kerja kita. Belajar berkomunikasi, membuat presentation, mengurus data, menyelesaikan masalah dan bekerja dengan orang lain. Cari senior yang kita boleh belajar daripadanya. Baca buku dan tambah ilmu. Pada awal kerjaya, mungkin kita belum mempunyai banyak pengalaman. Sebab itu kelebihan terbesar kita adalah kemampuan untuk belajar dengan cepat.
Belajar adalah kunci untuk kita terus berkembang. Dalam Islam sendiri, wahyu pertama yang diturunkan bermula dengan satu arahan yang sangat jelas — “Bacalah”.
Berusaha lebih daripada yang diminta. Kalau diberikan satu tugasan, jangan sekadar fikir bagaimana mahu menyiapkannya. Cuba faham kenapa tugasan itu perlu dibuat dan bagaimana kita boleh memberikan hasil yang lebih baik. Jangan terlalu berkira tentang kerja pada peringkat awal kerjaya. Usaha yang kita berikan hari ini sedang membina pengalaman, kemahiran dan keyakinan yang akan kita gunakan bertahun-tahun kemudian.
Jaga reputasi sejak hari pertama. Reputasi mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina tetapi boleh rosak dalam masa yang singkat. Jadilah orang yang boleh dipercayai. Kalau berjanji, tunaikan. Kalau melakukan kesilapan, mengaku dan perbaiki. Hormati rakan sekerja tanpa mengira jawatan. Dalam perjalanan kerjaya, orang mungkin terlupa berapa banyak kerja yang kita pernah buat, tetapi mereka akan ingat bagaimana rasanya bekerja bersama kita.
Reputasi yang baik yang bantu saya untuk naik….
Belajar mengurus duit dari gaji pertama. Jangan tunggu gaji besar baru mahu menyimpan dan melabur. Apabila pendapatan meningkat, keinginan kita juga mudah meningkat. Mulakan dengan apa yang ada. Simpan sedikit, bina dana kecemasan dan belajar tentang pelaburan. Lebih awal kita membina tabiat kewangan yang baik, lebih banyak pilihan yang kita akan ada apabila umur semakin meningkat.
Ini penting…Kalau saya boleh putar balik ke masa awal saya masuk kerja. Ini perkara pertama saya nak ubah…
Kalau saya boleh berikan satu pesanan kepada orang muda yang baru memulakan kerjaya, jangan terlalu mengejar hasil sehingga terlupa membina asas. Bersabar dengan perjalanan, terus belajar, kuat berusaha, jaga reputasi dan urus kewangan dengan baik. Umur 20-an bukan masa untuk kita tahu semuanya. Ia adalah masa untuk membina diri. Apa yang kita lakukan secara konsisten hari ini akan menentukan siapa kita 10 tahun akan datang.
#BapakLabur
Leave a comment