Apa Maksud Kekayaan Yang Sebenar Dalam Hidup Saya

Dulu saya fikir kaya itu apabila kita ada banyak duit. Rumah besar, kereta yang selesa, simpanan yang banyak dan boleh berbelanja tanpa perlu risau duit habis. Tetapi bila saya dah berumur 41 tahun, pandangan saya tentang kekayaan semakin berubah. Hari ini, definisi kaya bagi saya jauh lebih sederhana: saya ada kuasa untuk memilih.

Saya mahu bekerja kerana saya memilih untuk bekerja, bukan kerana saya terpaksa bekerja semata-mata untuk membayar komitmen setiap bulan. Saya mahu berada dalam sesuatu pekerjaan kerana saya masih seronok melakukannya, masih mahu menyumbang dan masih mahu belajar. Bukan kerana saya takut apa akan berlaku kalau saya berhenti.

Begitu juga dengan masa. Bagi saya, orang yang kaya bukan sekadar orang yang mempunyai banyak duit. Orang yang kaya ialah orang yang mempunyai pilihan terhadap masanya. Kalau keluarga memerlukan saya, saya boleh memilih untuk bersama mereka. Kalau badan dan fikiran perlukan rehat, saya boleh memilih untuk berehat. Kalau saya mahu membaca, menulis, berniaga atau melakukan sesuatu yang saya minat, saya mempunyai ruang untuk melakukannya.

Ya…saya mahua da ruang untuk memilih apa yang saya nak….

Sebab itu saya semakin sedar bahawa tujuan saya membina simpanan dan pelaburan bukan semata-mata untuk melihat angka dalam akaun semakin besar. Saya mahu membina satu keadaan kewangan yang memberi saya pilihan. Duit sepatutnya menjadi alat yang memberikan lebih banyak pilihan dalam kehidupan, bukannya sesuatu yang menyebabkan kita semakin terikat.

Saya tidak bermaksud yang kita perlu berhenti bekerja atau menjadi jutawan terlebih dahulu untuk merasai kehidupan seperti ini. Bagi saya, ia adalah satu perjalanan. Setiap hutang yang berjaya dikurangkan, setiap ringgit yang berjaya disimpan dan setiap aset yang berjaya dibina sedikit demi sedikit sebenarnya sedang membeli kembali kebebasan kita pada masa hadapan.

Akhirnya, saya tidak mengejar kekayaan supaya saya boleh membeli semuanya. Saya mengejar kekayaan supaya suatu hari nanti, apabila berhadapan dengan pilihan penting dalam hidup, saya boleh berkata:

“Saya buat ini bukan kerana saya terpaksa. Saya buat kerana ini yang saya pilih.”

Itulah maksud kekayaan yang sebenar dalam hidup saya.

Semoga satu hari nanti saya dapat memilih!!

#BapakLabur

Leave a comment