
Saya mula melabur dalam unit trust pada tahun 2010. Sejak itu, saya belajar bahawa membina portfolio pelaburan bukan tentang mencari dana yang boleh memberikan keuntungan paling tinggi dalam masa singkat. Bagi saya, perkara paling penting ialah konsisten, mempunyai matlamat dan memberikan masa kepada pelaburan untuk berkembang. Ada tahun portfolio naik, ada tahun pasaran jatuh. Tetapi saya masih terus melabur kerana unit trust bagi saya adalah perjalanan jangka panjang, bukan jalan untuk menjadi kaya dengan cepat.
Pada peringkat awal, jumlah pelaburan saya tidaklah besar. Saya melabur berdasarkan kemampuan dan menambah sedikit demi sedikit apabila mempunyai lebihan wang. Bila pasaran jatuh, memang ada rasa risau apabila melihat nilai portfolio berkurang. Tetapi lama-kelamaan saya belajar bahawa turun naik pasaran adalah perkara biasa. Kalau matlamat pelaburan masih jauh, kejatuhan pasaran juga boleh menjadi peluang untuk kita mengumpul lebih banyak unit pada harga yang lebih rendah.
Saya juga belajar supaya tidak meletakkan semua wang dalam satu tempat. Portfolio perlu dibina mengikut matlamat, tempoh pelaburan dan tahap risiko yang kita mampu terima. Ada pelaburan yang saya lihat untuk pertumbuhan jangka panjang dan ada yang memerlukan pendekatan lebih sederhana. Saya cuba melihat keseluruhan portfolio, bukannya terlalu fokus kepada prestasi satu dana dalam tempoh yang singkat. Bagi saya, portfolio yang baik bukan semestinya portfolio yang sentiasa mencatat keuntungan tertinggi, tetapi portfolio yang kita mampu pegang dengan tenang ketika pasaran tidak menyebelahi kita.
Satu lagi perkara yang banyak membantu saya ialah disiplin untuk terus menambah pelaburan. Kita tidak perlu menunggu mempunyai RM10,000 atau RM20,000 baru mahu bermula. Jumlah kecil yang dilaburkan secara konsisten juga boleh menjadi besar apabila diberikan masa yang panjang. Apabila ada lebihan pendapatan atau komisen, saya cuba asingkan sebahagian untuk pelaburan. Prinsipnya mudah, invest first, spend later. Namun saya juga belajar bahawa pelaburan perlu bergerak seiring dengan keadaan kewangan. Dana kecemasan, hutang dan komitmen keluarga tetap perlu diberikan perhatian.
Selepas lebih sedekad melabur, pengajaran terbesar saya ialah kekayaan melalui pelaburan biasanya dibina secara perlahan. Jangan terlalu mengejar return sehingga kita lupa menguruskan risiko. Jangan berhenti hanya kerana pasaran jatuh, dan jangan terlalu berani hanya kerana pasaran sedang naik. Tetapkan matlamat, fahami risiko, diversify portfolio dan melaburlah secara konsisten mengikut kemampuan. Kita mungkin tidak nampak perubahan besar dalam satu atau dua tahun, tetapi apabila disiplin itu dilakukan selama 10, 15 atau 20 tahun, hasilnya boleh menjadi sangat berbeza. Dalam pelaburan, masa dan konsistensi selalunya lebih penting daripada cuba menjadi orang paling bijak dalam pasaran.
#BapakLabur
Leave a comment