
Ada sesuatu tentang Madinah yang sukar saya gambarkan dengan kata-kata. Kota ini tidak semegah kota-kota besar dunia. Tiada bangunan pencakar langit yang menjadi tarikan utama, tiada hiruk-pikuk yang membuatkan manusia mahu mengejar dunia. Tetapi Madinah mempunyai sesuatu yang jauh lebih mahal iaitu ketenangan. Inilah kota yang menerima penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w., kota yang menjadi saksi berkembangnya Islam dan kota yang di dalamnya berdiri Masjid Nabawi yang megah. Di bumi ini juga bersemadinya Rasulullah s.a.w. Setiap kali melihat payung-payung besar terbuka di perkarangan Masjid Nabawi, hati terasa seperti dipanggil untuk berhenti seketika daripada mengejar dunia.
Allah s.w.t. memberikan saya satu rezeki yang sangat besar apabila saya berpeluang mengerjakan umrah pada Januari 2025. Perjalanan itu bukan sekadar membawa saya ke Makkah dan Madinah. Ia meninggalkan sesuatu dalam hati yang saya sendiri tidak jangka. Saya jatuh cinta dengan Madinah.
Ya…rasa cinta yang sangat mendalam. Rindu yang tidak berpenghujung…
Ada rasa tenang yang berbeza apabila berjalan menuju Masjid Nabawi. Ada rasa berat ketika tiba masa untuk meninggalkannya. Dalam masa yang sama, saya banyak terinspirasi dengan kisah Allahyarham Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim yang pernah menetap di Madinah. Dari situ timbul satu impian kecil dalam hati saya: Bagaimana kalau suatu hari nanti saya juga dapat tinggal di Madinah?
Ya Allah…mudahkan lah hasrat ku ini…
Buat masa sekarang, saya tahu saya belum mampu. Saya masih bekerja, masih mempunyai komitmen dan belum mempunyai sumber kewangan yang cukup kukuh untuk hidup lama di sana. Tetapi saya percaya, setiap perjalanan besar bermula dengan sebuah niat.
Sebab itu saya mahu membina satu tabung yang saya namakan Tabung Road to Madinah. Sasaran saya mudah tetapi besar maknanya. Apabila bersara pada awal usia 50-an nanti, saya mahu mempunyai kemampuan untuk tinggal di Madinah sekurang-kurangnya enam bulan. Saya membayangkan kehidupan yang lebih perlahan, menjaga solat berjemaah di Masjid Nabawi, membaca al-Quran, menghadiri majlis ilmu dan memperbanyakkan ibadah. Kalau diberikan kesihatan dan kemampuan, mungkin setiap dua minggu saya boleh bergerak ke Makkah untuk mengerjakan umrah sebelum kembali semula ke Madinah.
Tetapi impian seperti ini memerlukan perancangan. Saya perlu menabung, mengurangkan hutang sedikit demi sedikit, menyelesaikan hutang-hutang kecil terlebih dahulu, kemudian meningkatkan simpanan dan pelaburan. Pada masa yang sama, saya juga perlu mencari jalan meningkatkan pendapatan. Saya tidak mahu Road to Madinah hanya menjadi angan-angan yang sedap diceritakan tetapi tidak pernah diusahakan.
Ya Allah…permudahkan segala usaha aku ini…
Namun semakin saya fikirkan tentang Madinah, semakin saya sedar bahawa duit sahaja tidak cukup. Apa gunanya mempunyai wang untuk tinggal enam bulan di Madinah jika hati masih jauh daripada Allah? Saya mungkin mampu menyewa rumah berhampiran Masjid Nabawi, tetapi belum tentu kaki saya ringan untuk berjalan ke masjid. Saya mungkin mempunyai wang untuk berulang-alik ke Makkah, tetapi belum tentu hati saya benar-benar memahami tujuan sebuah umrah. Jadi sebelum saya menyediakan diri untuk tinggal di Madinah, saya perlu menyediakan diri untuk menjadi tetamu yang lebih baik di sisi Allah.
Persediaan rohani itu perlu bermula dari sekarang, bukan selepas bersara. Saya perlu belajar menjaga solat dengan lebih baik, memperbanyakkan bacaan al-Quran, menghadiri majlis ilmu dan membiasakan diri dengan amalan-amalan yang mendekatkan hati kepada Allah. Banyak perkara dalam diri yang masih perlu diperbaiki. Ada ibadah yang kadang-kadang dibuat sekadar memenuhi kewajipan. Ada masa dunia terlalu memenuhi kepala sehingga akhirat berada di belakang. Kalau saya benar-benar mahu menjadikan Madinah sebagai destinasi hidup selepas bersara, maka perjalanan menuju Madinah sebenarnya perlu bermula dari hati saya hari ini.
Yaaa…bermula dari hari saya hari ini…bukan esok…
Saya juga mahu Road to Madinah menjadi perjalanan keluarga, bukan perjalanan saya seorang. Saya mahu keluarga kami sama-sama belajar mencintai masjid, al-Quran, ilmu dan kehidupan yang sederhana. Saya mahu kami belajar bahawa kejayaan hidup bukan hanya tentang rumah yang lebih besar, kereta yang lebih mahal atau jumlah wang yang semakin banyak. Semua itu mungkin diperlukan, tetapi semuanya akan ditinggalkan. Saya mahu apabila usia semakin bertambah, hubungan kami dengan Allah juga semakin kuat. Mudah-mudahan apabila tiba waktunya nanti, kami bukan sahaja mempunyai kemampuan kewangan untuk ke Madinah, tetapi hati kami juga sudah bersedia untuk menikmati kehidupan yang dekat dengan Allah.
Jadi mulai hari ini, saya mahu menjadikan Road to Madinah sebagai salah satu target besar dalam hidup saya. Saya mahu meningkatkan pendapatan, mengawal perbelanjaan, menyelesaikan hutang satu demi satu, meningkatkan simpanan dan pelaburan, serta konsisten membina Tabung Road to Madinah. Dalam masa yang sama, saya mahu memperbaiki solat, menambah ilmu, membaca al-Quran dan meningkatkan amal ibadah.
Saya tidak tahu sama ada Allah akan memberikan saya peluang untuk tinggal enam bulan di Madinah seperti yang saya impikan. Tetapi saya mahu berusaha seolah-olah perjalanan itu benar-benar akan berlaku. Selebihnya saya serahkan kepada Allah s.w.t. Mudah-mudahan Dia memberikan kemudahan, melapangkan rezeki dan akhirnya menjemput saya serta keluarga kembali ke bumi Madinah.
Kerana akhirnya saya sedar, Road to Madinah bukan sekadar perjalanan mengumpul wang untuk membeli tiket kapal terbang. Ia adalah perjalanan membina diri. Saya mahu apabila usia menghampiri 50-an nanti, saya bukan hanya mempunyai akaun bank yang lebih kukuh, tetapi juga hati yang lebih dekat dengan Allah. Kalau suatu hari nanti saya benar-benar dapat duduk di perkarangan Masjid Nabawi, memandang kubah hijau sambil menunggu azan berkumandang, saya mahu mengingati hari ketika impian ini mula ditulis. Hari ketika Madinah masih jauh di mata, tetapi saya memilih untuk mula berjalan ke arahnya — sedikit demi sedikit, satu hutang diselesaikan, satu ringgit disimpan dan satu amal diperbaiki pada satu masa.
InsyaAllah
#BapakLabur
Leave a comment