
Saya pernah rugi dalam pelaburan saham. Waktu tu, saya ikut-ikut orang lain. Saya FOMO, Fear Of Missing Out. Salah satu contoh paling jelas ialah saham Sedania, yang saya beli kerana takut terlepas peluang ketika melihat orang lain mula masuk. Akhirnya, saya rugi sekitar 30% dalam pelaburan tersebut. Kejadian itu, saya masih ingat lagi. Ia berlaku pada tahun 2021. Waktu saya mula berjinakkan diri dalam pelaburan saham.
Bila harga saham mula naik, saya mudah rasa, “Kalau aku tak masuk sekarang, nanti dah terlambat.” Kita nampak orang lain berkongsi keuntungan, lalu saya mula rasa tertinggal. Masalahnya, saya lebih banyak membuat keputusan berdasarkan emosi berbanding fakta. Siapa antara kalian pernah hadapi masalah macam saya?
Kesilapan saya adalah masuk tanpa cukup memahami kenapa saya membeli saham tersebut. Saya lebih fokus kepada “berapa banyak boleh untung” daripada bertanya “berapa banyak saya sanggup rugi?” Sedangkan pelaburan sepatutnya bermula dengan menganalisa, fundamental, penilaian dan pengurusan risiko. Bukan sebab kerana takut orang lain sedang buat duit tapi kita tak buat duit.
Hari ini, saya belajar satu perkara penting: pelaburan bukan perlumbaan untuk masuk paling awal. Tak semua peluang perlu kita ambil. Kalau kita terlepas sesuatu pelaburan, itu tidak bermakna kita rugi. Kadang-kadang, keputusan terbaik adalah berani untuk tidak masuk.
Saya mungkin akan buat kesilapan lain dalam perjalanan pelaburan saya. Tetapi satu perkara yang saya tidak mahu ulang lagi ialah membeli kerana FOMO. Sebelum tekan butang Buy, saya mahu lebih banyak bertanya: “Saya beli kerana saya benar-benar faham pelaburan ini, atau kerana saya takut orang lain untung tanpa saya?” Bezanya nampak kecil, tetapi kesannya pada duit kita boleh jadi sangat besar.
Ingat ya…
#BapakLabur
Leave a comment