Matlamat Kewangan Keluarga Saya Menjelang 2035

Setiap keluarga mempunyai impian yang berbeza. Ada yang bercita-cita memiliki rumah yang lebih besar, ada yang mahu menghantar anak belajar ke luar negara, dan ada juga yang ingin mengembara ke seluruh dunia. Bagi saya dan isteri, matlamat kewangan bukan sekadar kumpul banyak harta tetapi kami mahu membina kehidupan yang lebih tenang, mempunyai kebebasan memilih bagaimana kami menghabiskan masa, dan memberi manfaat kepada orang lain. Sebab itu kami menetapkan sasaran yang jelas menjelang tahun 2035.

Matlamat terbesar saya ialah bersara daripada kerjaya sekarang apabila berusia 50 tahun. Bersara bagi saya bukan bermaksud berhenti bekerja sepenuhnya. Sebaliknya, saya mahu berada pada tahap di mana saya tidak lagi bergantung kepada gaji bulanan untuk meneruskan kehidupan. Saya mahu mempunyai pendapatan pasif dan pendapatan daripada pelaburan yang mampu menjana pendapatan lima angka setiap bulan. Apabila sampai ke tahap itu, saya bebas memilih untuk bekerja kerana minat, bukan kerana keperluan.

Selain itu, saya juga mempunyai satu impian yang sangat dekat di hati, iaitu membolehkan isteri saya bersara dalam tempoh lima tahun akan datang. Selama ini kami sama-sama berusaha membina keluarga dan mencari rezeki. Saya berharap suatu hari nanti beliau mempunyai pilihan untuk berhenti bekerja sekiranya itu yang diinginkan, tanpa perlu risau tentang kewangan keluarga. Pada saya, kebebasan untuk memilih adalah salah satu hadiah terbesar yang boleh diberikan kepada isteri saya.

Satu lagi impian yang kami pegang erat ialah menetap di Madinah sekurang-kurangnya setahun selepas kami bersara nanti. Lagi lama, lagi terbaik. Kami ingin merasai kehidupan yang lebih sederhana, memperbanyakkan ibadah, mendalami ilmu agama dan menikmati ketenangan di kota yang penuh keberkatan. Kami sedar impian ini memerlukan persediaan kewangan yang rapi. Oleh itu, setiap keputusan kewangan yang kami buat hari ini sentiasa mengambil kira matlamat tersebut.

Sudah tentu semua impian ini tidak akan tercapai hanya dengan angan-angan. Macam angan-angan Mat Jenin. Kami perlu terus meningkatkan pendapatan, melabur secara konsisten, mengurus hutang dengan bijak dan mengawal gaya hidup. Saya percaya kejayaan kewangan bukan hasil dari satu keputusan yang besar, tetapi hasil daripada ratusan keputusan kecil yang dibuat dengan disiplin setiap hari. Setiap ringgit yang disimpan dan setiap pelaburan yang dibuat hari ini adalah satu langkah lebih dekat kepada impian keluarga kami.

Saya tidak tahu sama ada semua matlamat ini akan tercapai tepat pada tahun 2035 atau mengambil sedikit masa lagi. Namun, saya percaya bahawa mempunyai matlamat yang jelas jauh lebih baik daripada berjalan tanpa arah. Matlamat kewangan keluarga bukan sekadar tentang wang, tetapi tentang kehidupan yang ingin kami bina bersama. Saya berharap perkongsian ini memberi inspirasi kepada anda untuk mula merancang matlamat kewangan keluarga sendiri. Mungkin impian kita berbeza, tetapi satu perkara yang sama ialah impian hanya akan menjadi kenyataan apabila kita berani merancang dan bertindak mulai hari ini.

#BapakLabur

Leave a comment