Umur 25–35 Tahun, Patut Melabur ASB, Unit Trust atau Saham Dahulu?

Kalau anda berumur antara 25 hingga 35 tahun dan sudah mempunyai pendapatan tetap, tahniah!!. Ini ialah fasa terbaik untuk mula membina kekayaan. Persoalan yang selalu saya dengar dari prospect saya ialah, “Tuan…saya patut mula labur dalam ASB, Unit Trust atau saham?” Saya jawab. Tiada satu pelaburan yang sesuai untuk semua orang kerana setiap orang mempunyai matlamat dan tahap risiko yang berbeza. Saya dan Tuan, ada matlamat berbeza. Bukan setakat itu, kita juga ada komitment dan pendapatan berbeza-beza.

Jika anda baru ingin berjinak-jinak dengan pelaburan dan mahukan sesuatu yang lebih stabil, ASB ialah pilihan yang baik. Anda tidak perlu memantau pasaran setiap hari dan risikonya juga lebih rendah. ASB sesuai dijadikan asas simpanan sambil membina tabiat melabur secara konsisten.

Jika anda mahu pulangan yang berpotensi lebih tinggi tetapi tidak mempunyai masa untuk mengkaji syarikat atau pasaran, Unit Trust boleh dipertimbangkan. Dana anda akan diuruskan oleh pengurus pelaburan yang berpengalaman dan pelaburan juga lebih pelbagai. Ia sangat sesuai untuk orang yang sibuk bekerja tetapi tetap mahu mengembangkan wang dalam jangka panjang.

Saham pula sesuai untuk mereka yang sanggup belajar, membuat kajian dan menerima turun naik pasaran. Potensi pulangannya memang lebih tinggi, tetapi risikonya juga lebih besar. Jika anda memilih saham, pastikan anda melabur dengan ilmu, bukan kerana mengikut trend atau FOMO (Fear of Missing Out).

Pada pendapat saya, anda tidak perlu memilih hanya satu instrumen pelaburan. Mulakan dengan membina asas melalui ASB, tambah Unit Trust untuk pertumbuhan jangka panjang, dan apabila ilmu serta pengalaman semakin bertambah, barulah mula melabur dalam saham. Jangan tunggu sehingga mempunyai wang yang banyak untuk melabur. Mulakan dengan apa yang anda ada hari ini kerana masa adalah aset paling berharga dalam membina kekayaan.

InsyaAllah…

#BapakLabur

Leave a comment