5 Nasihat Yang Saya Harap Saya Dapat Sebelum Memulakan Kerjaya Saya

Saya masih ingat perasaan pada hari pertama masuk ke tempat kerja. Berdebar, teruja dan dalam masa yang sama sedikit takut. Waktu tu, saya fikir yang kalau saya rajin bekerja dan pandai buat kerja. Semuanya akan berjalan dengan baik. Tetapi selepas beberapa tahun bekerja, saya sedar dunia pekerjaan tidak semudah yang saya bayangkan. Banyak perkara yang saya belajar melalui pengalaman, kesilapan dan teguran daripada senior-senior saya.

Kalau boleh diundurkan masa, ada beberapa perkara yang saya harap seseorang boleh beritahu saya sebelum saya memulakan kerjaya. Mungkin perjalanan saya akan menjadi lebih mudah dan saya dapat mengelakkan beberapa kesilapan yang tidak perlu. Jadi, jika anda baru memulakan kerjaya atau masih berada di awal perjalanan, semoga lima nasihat ini dapat membantu anda.

1. Jangan Kejar Gaji Semata-Mata, Kejar Ilmu Dahulu

Masa mula bekerja, saya selalu fikir gaji adalah ukuran kejayaan. Bila dengar kawan dapat gaji lebih tinggi, saya mula membandingkan diri. Tapi sebenarnya pada awal kerjaya, ilmu dan pengalaman jauh lebih bernilai daripada gaji yang kita dapat pada waktu itu. Kalau anda bekerja di tempat yang memberi peluang belajar, ambillah peluang itu. Ilmu yang dikumpulkan hari ini boleh meningkatkan nilai diri anda berkali ganda pada masa depan.

2. Bos Tidak Mengharapkan Anda Tahu Semua Jawapan

Saya selalu rasa yang kalau saya banyak tanya, bos akan nampak saya tak pandai buat kerja. Akibatnya, saya membuat andaian sendiri dan akhirnya melakukan kesilapan yang sebenarnya boleh dielakkan. Selepas beberapa ketika, saya sedar bahawa bertanya adalah tanda kita mahu belajar, bukannya tanda kita lemah. Orang yang cepat berkembang biasanya ialah orang yang berani bertanya dan sanggup menerima tunjuk ajar.

3. Nama Baik Lebih Bernilai Daripada Jawatan

Jawatan boleh berubah. Gaji juga boleh bertambah. Tetapi reputasi mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina. Saya belajar bahawa orang akan mengingati sama ada kita seorang yang boleh dipercayai atau tidak. Menepati janji, menghantar kerja mengikut masa dan menjaga adab ketika berurusan mungkin nampak perkara kecil, tetapi itulah yang membina kepercayaan orang lain terhadap kita.

4. Jangan Bandingkan Permulaan Anda Dengan Perjalanan Orang Lain

Media sosial membuatkan kita mudah rasa ketinggalan. Ada kawan sudah membeli rumah, ada yang memandu kereta baharu, ada yang dinaikkan pangkat. Sedangkan kita masih bekerja keras setiap hari. Hakikatnya, setiap orang mempunyai perjalanan yang berbeza. Fokuslah untuk menjadi lebih baik daripada diri sendiri. Bukan berlumba dengan kehidupan orang lain.

5. Cari Mentor, Bukan Sekadar Kawan

Antara perkara terbaik yang berlaku dalam kerjaya saya ialah apabila saya mula belajar daripada orang yang lebih berpengalaman. Mereka bukan sahaja mengajar cara bekerja, malah berkongsi cara berfikir, membuat keputusan dan menghadapi cabaran. Tidak semestinya mentor itu mempunyai jawatan tinggi. Kadang-kadang seorang senior yang ikhlas berkongsi pengalaman sudah cukup untuk mempercepatkan perkembangan kerjaya kita.

Lima nasihat ini mungkin nampak mudah, tetapi saya percaya jika saya benar-benar memahaminya sejak hari pertama bekerja, banyak kesilapan dapat saya elakkan. Semoga anda semua dapat belajar sesuatu dari penulisan saya. InsyaAllah…

#BapakLabur

Leave a comment