
“Kalau esok saya berhenti kerja, adakah keluarga saya masih boleh meneruskan kehidupan seperti biasa?”
Itulah soalan yang sering saya tanyakan kepada diri saya. Soalan ini juga telah mengubah cara saya melihat maksud sebenar financial freedom. Ramai yang bercakap tentang kebebasan kewangan. Ada yang mengaitkannya dengan memiliki jutaan ringgit, bersara pada usia muda atau mengembara ke seluruh dunia tanpa perlu bekerja. Betul…tak salah kalau kita berfikiran macam tu. Kebanyakan buku kewangan juga memberikan definisi yang hampir sama, apabila aset yang kita miliki mampu menampung keseluruhan kos sara hidup kita dan keluarga kita. Maka kita telah mencapai financial freedom.
Namun, selepas lebih 16 tahun saya melabur dalam unit trust, saya mula mempunyai definisi yang sedikit berbeza.
Financial freedom ialah apabila saya boleh bersara daripada pekerjaan saya hari ini, tetapi pendapatan saya masih masuk secara konsisten setiap bulan walaupun saya tidak lagi menerima gaji daripada majikan.
Saya mungkin masih memilih untuk bekerja. Saya masih suka berkarya, menyumbang idea dan membina sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain. Bezanya, saya bekerja kerana saya mahu, bukan kerana saya tiada pilihan.
Definisi ini lahir daripada pengalaman saya sendiri sebagai seorang pekerja korporat. Setiap hari, jutaan pekerja di Malaysia melalui rutin yang hampir sama. Bangun seawal pagi, menghantar anak ke sekolah, mengharungi kesesakan lalu lintas dan memastikan mereka tiba di pejabat sebelum jam 8.30 pagi. Kemudian, mereka menghabiskan hari dengan menghadiri mesyuarat, mengejar KPI dan menyiapkan tugasan sebelum pulang selepas jam 5.30 petang. Isnin hingga Jumaat berlalu dengan rutin yang hampir sama. Saya juga melalui fasa itu sekarang.
Semasa masih muda, fokus saya hanyalah untuk mendapatkan kenaikan gaji setiap tahun. Saya percaya semakin tinggi gaji, semakin stabil masa depan saya. Tetapi lama-kelamaan saya sedar yang Gaji hanya akan masuk selagi kita masih bekerja. Jika saya tidak lagi dapat bekerja. Tak kisah sama ada saya di berhentikan kerja, masalah kesihatan atau kita sendiri mahu berehat seketika, pendapatan itu juga akan terhenti.
Sejak itu, saya mula mengubah cara berfikir. Saya tidak lagi hanya mengejar pendapatan aktif, tetapi mula membina aset yang boleh menghasilkan pendapatan. Bagi saya, aset bukan sekadar rumah atau kereta. Aset ialah sesuatu yang boleh bekerja untuk kita. Ia boleh datang dalam bentuk portfolio unit trust yang berkembang, hartanah yang disewakan, perniagaan yang mampu berjalan sendiri atau apa sahaja pelaburan yang menghasilkan aliran tunai secara konsisten.
Ya….konsisten setiap bulan…
Saya mula melabur dalam unit trust pada tahun 2010. Sehingga hari ini, saya masih melabur setiap bulan. Saya percaya, saya boleh bina kekayaan melalui masa, disiplin dan konsistensi saya melabur.
Ramai dari kita mencari pelaburan yang boleh menggandakan wang dalam masa beberapa bulan. Saya pula lebih selesa membiarkan masa bekerja untuk saya. Saya percaya compounding bukan sesuatu yang berlaku satu hari, tetapi ia akan memberi kesan yang luar biasa kepada mereka yang sabar dan kekal focus.
Bagi saya, financial freedom bukan bermaksud berhenti bekerja. Financial freedom ialah mempunyai pilihan. Pilihan untuk terus bekerja kerana kita minat. Pilihan untuk berehat jika badan memerlukan. Pilihan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama pasangan dan anak-anak. Pilihan untuk menjaga ibu bapa apabila mereka semakin berusia. Pilihan untuk membantu orang lain tanpa terlalu memikirkan keadaan kewangan sendiri.
.
Semua pilihan itu hanya datang apabila kita tidak lagi bergantung kepada satu sumber pendapatan. Sebab itu saya sering mengingatkan rakan-rakan yang bekerja di sektor korporat, khususnya mereka yang berusia antara 25 hingga 35 tahun. Jangan hanya fokus membina kerjaya je. Dalam masa yang sama, cuba bina aset.
Kerjaya akan memberi anda pendapatan hari ini. Tetapi aset akan memberi anda kebebasan pada masa hadapan. Tidak perlu menunggu gaji RM10,000 sebulan untuk mula melabur. Tidak perlu menunggu umur 40 tahun untuk mula merancang. Mulakan dengan apa yang anda ada hari ini. Yang penting ialah konsisten. Sepuluh atau lima belas tahun akan datang, anda akan berterima kasih kepada diri sendiri kerana membuat keputusan itu lebih awal.
Hari ini, saya masih bekerja dan masih menikmati kerjaya saya. Namun, saya mempunyai satu impian. Saya mahu sampai ke satu tahap di mana jika saya meletakkan surat berhenti kerja di atas meja bos saya esok, kehidupan keluarga saya tetap berjalan seperti biasa kerana aset yang saya bina selama ini mampu menghasilkan pendapatan secara konsisten.
Itulah definisi sebenar financial freedom. Bukan hidup tanpa bekerja. Tetapi hidup tanpa rasa takut kehilangan satu-satunya sumber pendapatan.
Jadi, apa pendapat anda?
Apakah definisi financial freedom yang anda pegang hari ini? Adakah anda sedang membina aset yang mampu memberi pendapatan kepada anda, atau masih bergantung sepenuhnya kepada gaji bulanan? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen. Saya ingin mendengar perspektif dan pengalaman anda.
Jika artikel ini memberi manfaat, jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan yang sedang membina kerjaya. Mungkin hari ini mereka bekerja untuk gaji, tetapi semoga satu hari nanti mereka bekerja kerana minat, bukan lagi kerana terpaksa.
#BapakLabur
Leave a comment