Kenapa Saya Masih Memilih Unit Trust Selepas Lebih Sedekad Melabur

“Kekayaan bukan dibina dalam satu malam. Ia dibina melalui keputusan yang betul, diulang berkali-kali dalam tempoh yang panjang.”

Saya masih ingat ketika saya mula melabur dalam unit trust pada tahun 2010. Waktu itu saya hanyalah seorang pekerja yang sedang membina kerjaya. Gaji tidaklah besar, kalau tidak salah saya. Gaji sebulan waktu itu baru RM1,250. Walaupun gaji saya sangat rendah,  saya juga mempunyai impian untuk memiliki kehidupan yang lebih selesa pada masa hadapan.

Bezanya, saya ada rakan yang baik. Rakan yang sedar tentang pentingnya untuk bina masa depan, kena bermula dari sekarang. Rakan saya itu lah yang dorong saya jangan terus menunggu “masa yang sesuai”, terus je buat. Atas nasihat rakan saya, saya mengambil keputusan untuk bermula terus. Hari ini, selepas lebih 16 tahun, saya masih meneruskan perjalanan yang sama. Saya kini berusia 41 tahun dan sasaran saya cukup jelas — terus melabur sehingga saya berumur 60 tahun.

Ramai yang bertanya mengapa saya masih setia dengan unit trust walaupun hari ini terdapat begitu banyak pilihan pelaburan. Saham, ETF, REIT, mata wang kripto dan pelbagai lagi sentiasa menjadi topik hangat. Jawapan saya mudah. Sebab boleh….Hahaha….

Sebenarnya saya labur juga dalam platform lain seperti pelaburan saham dalam pasaran Bursa Malaysia dan melabur dalam pasaran mata wang kripto. Tapi saya masih juga memilih unit trust kerana pelaburan unit trust sangat sesuai dengan gaya hidup saya. Saya bekerja sepenuh masa, mempunyai keluarga yang perlu diberikan perhatian dan pelbagai tanggungjawab lain. Saya mahukan pelaburan yang boleh berkembang secara sistematik tanpa perlu saya melihat pergerakan pasaran setiap hari. Bagi saya, semua jenis pelaburan itu penting. Kita perlu ada semua jenis pelaburan tersebut dalam portfolio pelaburan kita.

Sepanjang perjalanan ini, saya belajar bahawa pasaran sentiasa berubah. Ada tahun yang memberikan pulangan yang baik dan ada juga tahun yang menguji kesabaran. Saya pernah melihat nilai pelaburan meningkat dengan pantas dan saya juga pernah melihat nilainya menurun. Siap nilai pelaburan saya rugi lebih dari 20% pada waktu pasaran jatuh. Namun satu perkara yang tidak akan pernah berubah ialah matlamat saya. Saya tidak melabur untuk keuntungan bulan hadapan. Saya melabur untuk kehidupan saya 20 atau 30 tahun akan datang. Apabila kita benar-benar memahami matlamat tersebut, kita akan lebih tenang menghadapi turun naik pasaran. Emosi tidak lagi mengawal keputusan kita.

Ya….emosi akan lebih stabil bila kita kekal focus pada matlamat kita.

Satu lagi prinsip yang saya pegang ialah konsisten lebih penting daripada sempurna. Saya tidak pernah menunggu sehingga mempunyai pendapatan yang tinggi untuk melabur. Saya juga tidak cuba meneka bila pasaran berada pada paras paling rendah. Saya hanya memastikan saya terus melabur mengikut kemampuan. Ada bulan saya melabur lebih, ada bulan saya melabur sekadar mampu. Yang penting, saya tidak berhenti. Saya percaya kekuatan sebenar pelaburan jangka panjang bukan datang daripada satu pelaburan yang besar, tetapi daripada disiplin yang diamalkan tanpa gagal selama bertahun-tahun.

Apabila usia semakin meningkat, cara saya melihat pelaburan juga berubah. Dahulu saya melihat pelaburan sebagai cara untuk menambah kekayaan. Hari ini saya melihat pelaburan sebagai alat untuk membeli ketenangan. Saya mahu mempunyai dana persaraan yang mencukupi. Saya mahu membantu pendidikan anak-anak tanpa terlalu membebankan kewangan keluarga. Saya mahu mempunyai pilihan apabila ibu bapa memerlukan bantuan. Saya juga mahu satu hari nanti bekerja kerana saya mahu, bukan kerana saya terpaksa. Bagi saya, itulah maksud sebenar kebebasan kewangan.

Jika ada satu perkara yang ingin saya tinggalkan kepada pembaca terutamanya golongan muda yang berusia antara 25 tahun ke 35 tahun, ia adalah jangan takut untuk bermula. Anda tidak perlu menjadi pakar pelaburan. Anda juga tidak perlu mempunyai modal yang besar. Apa yang lebih penting ialah mempunyai matlamat yang jelas, memilih instrumen pelaburan yang sesuai dengan diri sendiri dan kekal konsisten walaupun perjalanan mengambil masa yang panjang. Saya memulakan langkah pertama pada tahun 2010. Hari ini saya masih meneruskannya, dan insya-Allah saya akan terus melabur sehingga umur 60 tahun.

Saya percaya, apabila saya melihat semula perjalanan ini nanti, bukan jumlah keuntungan yang paling membanggakan saya. Sebaliknya, keputusan untuk tidak berhenti walaupun perjalanan itu panjang. Kerana akhirnya, kekayaan bukan dimiliki oleh mereka yang paling pantas, tetapi oleh mereka yang paling sabar dan paling konsisten.

InsyaAllah…

#BapakLabur

Leave a comment