
Saya memilih untuk mengurus kewangan keluarga menggunakan kaedah Dave Ramsey yang dikenali sebagai Baby Step. Kaedah ini sangat mudah diikuti kerana kita hanya perlu fokus pada satu langkah pada satu masa. Matlamatnya bukan untuk cepat kaya, tetapi untuk membina kewangan yang lebih stabil dan tenang.
Langkah pertama (Baby Step 1) ialah menyediakan dana kecemasan sebanyak RM1,000. Jumlah ini mungkin nampak kecil, tetapi ia sangat membantu apabila berlaku kecemasan seperti kos perubatan, kerosakan kenderaan atau perbelanjaan yang tidak dijangka. Syukur, saya telah berjaya capai langkah pertama ini.
Selepas mempunyai RM1,000 dana kecemasan, saya tidak terlalu focus kepada pelaburan semata-mata atau menambah simpanan saya. Saya memilih untuk mengikuti langkah seterusnya seperti yang disarankan oleh Dave Ramsey iaitu Baby Step 2.
Sekarang, saya sedang berada di Baby Step 2 iaitu menyelesaikan hutang satu per satu. Fokus saya adalah untuk mengurangkan komitmen hutang supaya kewangan keluarga saya menjadi lebih sihat dan lebih teratur. Sekarang, keadaan kewangan saya agak berterabur.
Cikgu saya selalu pesan kepada saya yang perjalanan kewangan bukanlah satu perlumbaan. Yang penting ialah kita terus bergerak ke hadapan walaupun sedikit demi sedikit. Setiap hutang yang berjaya diselesaikan adalah satu kemenangan kecil yang membawa saya lebih dekat kepada kebebasan kewangan.
Dave Ramsey mempunyai keseluruhan Baby Steps yang boleh diikuti sehingga mencapai kebebasan kewangan. Namun, saya memilih untuk fokus pada langkah yang sedang saya lalui sekarang tanpa terburu-buru untuk melangkau proses.
Apa yang saya pelajari sepanjang umur saya 41 tahun ialah kita tidak perlu mempunyai puluhan ribu ringgit untuk mula mengurus kewangan dengan baik. Mulakan dengan RM1,000 dana kecemasan, kemudian selesaikan hutang demi hutang. Langkah yang kecil tetapi konsisten mampu memberikan perubahan yang besar untuk diri kita dan keluarga kita.
InsyaAllah…
#BapakLabur
Leave a comment