
Saya dan bisnes memang berpisah tiada. Sejak kecil, saya melihat sendiri bagaimana bisnes menjadi sebahagian daripada kehidupan keluarga kami. Atuk dan nenek saya berniaga kedai makan. Mak pula pernah menjual popia dan nasi himpit kuah kacang. Beberapa tahun lalu, saya dan keluarga mengusahakan bisnes ternakan dan pembekalan ayam kampung. Namun, semuanya tinggal kenangan apabila bisnes ayam kampung ditutup pada tahun 2023. Walaupun bisnes datang dan pergi, minat saya terhadap dunia perniagaan tidak pernah hilang.
Hari ini, saya mempunyai kerjaya tetap yang baik. Gaji yang baik tapi gaji hanya memberi kita keselesaan, manakala bisnes memberi kita pilihan. Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat. Semua benda harga naik, semua. Mempunyai lebih daripada satu sumber pendapatan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.
Saya juga percaya bisnes adalah salah satu jalan untuk membina kebebasan kewangan. Kita bekerja keras setiap hari, tetapi sampai satu ketika nanti kita pasti akan berhenti bekerja. Saya mahu membina sesuatu yang boleh terus memberi manfaat kepada saya dan keluarga untuk jangka masa panjang.
Lebih daripada itu, saya melihat bisnes sebagai satu wasilah untuk menyediakan bekalan selepas kematian. Saya sentiasa percaya bahawa rezeki yang Allah s.w.t pinjamkan kepada kita bukan semuanya untuk dihabiskan. Ada bahagian yang perlu dikongsi dan diinfaqkan kepada mereka yang memerlukan. Jika Allah s.w.t memberikan lebihan harta melalui bisnes, saya berharap ia dapat menjadi saham kebaikan yang menemani saya di alam kubur nanti. Kerana pada akhirnya, kekayaan yang sebenar bukanlah pada apa yang kita miliki, tetapi pada apa yang kita tinggalkan sebagai manfaat kepada orang lain.
Selain itu, bisnes juga bukan sekadar activiti yang mencari keuntungan semata-mata. Ia mengajar saya menjadi seorang yang lebih berani, lebih kreatif dan sentiasa mahu belajar. Setiap kegagalan dan kejayaan membawa pengajaran yang tidak ternilai. Dunia bisnes banyak membentuk cara saya berfikir dan membuat keputusan dalam kehidupan saya. Malah, ada ketikanya saya dapat gunakan apa yang saya belajar dalam dunia bisnes dalam urusan kerjaya saya.
Saya tidak memulakan bisnes sambilan kerana mahu cepat kaya. Saya melakukannya kerana saya mempunyai impian yang besar untuk keluarga dan masa depan. Jika suatu hari nanti anak-anak saya bertanya mengapa ayah mereka bekerja begitu keras, saya mahu menjawab kepada mereka kerana saya sedang membina lebih banyak peluang dan pilihan untuk kami sekeluarga.
Kerana bagi saya, kerjaya adalah tempat saya berbakti, tetapi bisnes adalah tempat saya membina legasi dan membina sumber pahala selepas kematian.
InsyaAllah…
#BapakLabur
Leave a comment