Chapter 3: Bagaimana Saya Akhirnya Berjaya Menjadi Manager Selepas Pernah Gagal

Ramai orang ingat kegagalan adalah penamat. Saya juga pernah berasa begitu. Selepas gagal mendapat jawatan Manager, saya kecewa dan tertanya-tanya di mana silapnya. Namun, apabila emosi mula reda, saya sedar satu perkara. Kalau saya terus melakukan perkara yang sama, saya mungkin akan mendapat keputusan yang sama juga. Jadi saya memilih untuk berubah. Ubah cara saya berfikir dan cara saya bekerja.

Saya terus bekerja seperti biasa di bawah manager yang baharu. Saya masih mengurus projek, menjaga KPI dan memastikan setiap tugasan disiapkan dengan baik. Bezanya, kali ini saya tidak lagi terlalu ghairah untuk membuktikan diri. Saya lebih banyak memerhati dan cuba memahami bagaimana AGM saya berfikir serta apa yang sebenarnya mereka harapkan daripada seorang bakal Manager.

Manager saya pernah menegur saya, ‘Kamil, kena lebih ke depan. Biar bos nampak.’ Sebab saya macam duduk diam tanpa bua tapa-apa. Walaupun target saya capai, kerja saya siap dengan baik. Tapi manager saya nampak saya tidak aggressive macam sebelum nya. Lebih mendiamkan diri berbanding bercakap.

Sebenarnya saya bukan mendiamkan diri. Saya sedang menyusun langkah. Saya memilih masa yang sesuai untuk menyerlah. Apabila ada peluang membuat pembentangan, saya pastikan saya bersedia. Apabila dijemput berkongsi pengalaman dengan negeri-negeri lain, saya gunakan peluang itu sebaik mungkin. Saya bukan mahu menunjuk, tetapi mahu membina keyakinan AGM saya terhadap kemampuan saya.

Sedikit demi sedikit saya dapat merasakan perubahan. AGM saya mula memberi lebih banyak kepercayaan. Beliau melihat saya daripada sudut yang berbeza. Pengalaman yang saya kumpulkan selama bertahun-tahun akhirnya mula dihargai. Ketika itu saya sedar, kepercayaan tidak datang dalam sehari. Ia dibina melalui konsistensi dan sikap kita setiap hari.

Pada awal tahun 2024, AGM saya sendiri mencadangkan nama saya untuk satu jawatan Manager di Kuala Lumpur. Saya berterima kasih atas kepercayaan itu, tetapi saya memilih untuk tidak menerimanya kerana saya sudah mempunyai perancangan sendiri. Sebulan kemudian saya memohon jawatan Manager di HQ bagi segmen Consumer dengan sokongan daripada AGM saya.

Alhamdulillah, pada Julai 2024 saya secara rasmi memulakan tugas sebagai Manager. Antara perkara yang paling saya tidak sangka ialah saya sekali lagi melapor kepada AGM yang pernah menjadi manager saya suatu ketika dahulu. Dunia ini memang kecil. Kadang-kadang orang yang pernah membimbing kita akan kembali menjadi sebahagian daripada perjalanan kita.

Apabila saya melihat semula perjalanan ini, saya sedar setiap pengalaman ada sebabnya. Tujuh tahun sebagai Technical Assistant membina asas saya. Kegagalan naik pangkat mengubah cara saya berfikir. Peluang menjadi Manager datang apabila saya benar-benar bersedia. Kalau ada satu perkara yang ingin saya tinggalkan kepada anda, ia adalah ini: jangan berhenti meningkatkan nilai diri. Kerja keras membuka pintu, tetapi nilai diri yang tinggi membuatkan peluang datang mencari kita.

Insya-Allah…

#BapakLabur

Leave a comment