
Selepas tujuh tahun sebagai Technical Assistant, akhirnya saya berjaya dinaikkan pangkat sebagai Assistant Manager pada Oktober 2016. Sejujurnya, saya fikir inilah titik perubahan yang saya tunggu selama ini. Saya sangka apabila sudah memegang jawatan baharu, segala-galanya akan menjadi lebih mudah. Rupanya, saya silap. Cabaran sebenar baru sahaja bermula.
Pada awalnya, saya tidak merasakan perubahan yang terlalu besar. Tugas saya masih berkisar tentang perancangan projek fiber, cuma kali ini saya perlu memastikan projek yang dirancang benar-benar dilaksanakan mengikut jadual. Saya bukan lagi sekadar merancang, tetapi perlu memantau pelaksanaan, menyelesaikan isu dan memastikan semua pihak bergerak ke arah yang sama.
Saya bersyukur kerana tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri. Banyak ilmu yang saya pelajari semasa menjadi Technical Assistant membantu saya memahami kerja dengan lebih cepat. Saya juga banyak dibimbing oleh manager saya sebelum ini, terutama dalam mengurus stakeholder dan berurusan dengan pelbagai unit.
Sepanjang menjadi Assistant Manager, saya beberapa kali bertukar unit. Walaupun nama unit berubah, skop kerja masih sama. Saya terus bekerja di bawah manager yang sama kerana beliau percaya dengan cara saya bekerja. Malah apabila beliau dinaikkan sebagai Assistant General Manager, beliau tetap membawa saya bersama. Kemuncaknya, saya diberi tanggungjawab mengurus projek fiber untuk segmen SME di salah sebuah negeri di Lembah Klang.
AGM saya memberi kepercayaan penuh kepada saya. Beliau tidak banyak campur tangan dalam kerja harian. Saya diberi kebebasan mengurus projek dan hanya perlu membentangkan perkembangan semasa mesyuarat. Walaupun begitu, KPI saya hanya mendapat rating 2 daripada 4. Dulu saya selalu tertanya-tanya kenapa. Hari ini saya sudah faham sebabnya. Insya-Allah, saya akan ceritakan dengan lebih terperinci dalam artikel yang lain.
Harap-harap saya tidak lupa…Hahaha
Penghujung tahun 2021 menjadi detik yang saya tidak akan lupakan. AGM saya berpindah ke HQ dan digantikan oleh AGM lain. Dalam masa yang sama, saya di letakkan di bawah seorang manager. Rezeki saya untuk bekerja dengan manager ini singkat. Hanya 3 ke 4 bulan sahaja. Manager saya naik pangkat di HQ dan jawatan manager tu menjadi kosong. Dengan pengalaman yang saya ada, termasuk mengendalikan projek besar seperti Sunway Pyramid, saya benar-benar yakin inilah peluang saya. Saya memohon jawatan itu dengan penuh keyakinan.
Namun keputusan yang saya terima sangat mengecewakan. Saya gagal. Saya tertanya-tanya apa yang kurang pada diri saya. Selepas beberapa sesi one-to-one bersama AGM, barulah saya sedar selama ini saya terlalu fokus menjadi pakar teknikal. Rupanya untuk menjadi seorang Manager, saya juga perlu belajar mengurus manusia, memahami cara bos berfikir, membina kepercayaan dan mengurus stakeholder dengan lebih baik. Pengajaran itu mengubah cara saya melihat dunia pekerjaan.
Kalau ada satu perkara yang saya pelajari daripada fasa ini, ia adalah kerja kuat dan kepakaran teknikal sahaja tidak menjamin kenaikan pangkat. Semakin tinggi jawatan yang kita impikan, semakin penting kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kebijaksanaan mengurus hubungan. Kegagalan itu memang menyakitkan, tetapi kegagalan itulah yang membuka mata saya. Dan tanpa saya sedar, ia menjadi titik permulaan kepada kejayaan saya yang lebih besar.
InsyaAllah…
#BapakLabur
Leave a comment