
Setiap orang ada perjalanan kerjaya yang berbeza. Saya juga tidak terkecuali. Saya bermula sebagai Technical Assistant dan tidak pernah menyangka suatu hari nanti akan diberi peluang memegang jawatan Manager. Sepanjang perjalanan itu, saya belajar bahawa kejayaan bukan datang dalam sekelip mata, tetapi hasil daripada usaha, pengorbanan, pembelajaran dan kesabaran yang berterusan. Dalam siri artikel ini, saya ingin berkongsi pengalaman sebenar perjalanan kerjaya saya. Semoga kisah ini dapat memberi inspirasi kepada anda yang sedang membina kerjaya sendiri.
Saya masih ingat, pada 1 April 2009 saya melangkah masuk ke dunia pekerjaan sebagai Technical Assistant. Tugas utama saya ketika itu ialah merancang dan mereka bentuk rangkaian fiber untuk syarikat. Semuanya masih baharu. Banyak perkara yang saya tidak faham, tetapi saya datang dengan satu azam, kerja sehabis baik.
Pada awal kerjaya, saya ditempatkan di unit Fundamental Planning. Di situlah saya mula mengenali dunia telekomunikasi dengan lebih dekat. Saya banyak belajar daripada senior, daripada cara design sehinggalah memahami bagaimana rangkaian fiber dibina dan berfungsi. Saya percaya, kalau kita sanggup belajar, orang pun akan sanggup mengajar kita.
Antara individu yang paling banyak membimbing saya ialah manager saya ketika itu. Beliau banyak mengajar saya tentang rangkaian copper dan fiber. Saya diberi tanggungjawab menjaga Kajang, Semenyih, Sungai Besi dan Balakong. Memang penat kerana kawasan itu sangat sibuk, banyak project. Tetapi bila dikenang semula, kawasan yang sibuk itulah yang paling banyak mengajar saya.
Syukur…Alhamdulillah….
Disebabkan banyak projek, saya berpeluang berurusan dengan ramai pihak. Sedikit demi sedikit, saya belajar berkomunikasi, membuat pembentangan, menyelesaikan masalah dan mengurus stakeholder. Tanpa saya sedar, pengalaman itulah yang banyak membantu saya membina reputasi dalam unit dan juga dengan unit-unit lain.
Alhamdulillah, sepanjang menjadi non-executive, prestasi kerja saya sentiasa berada pada tahap yang baik. Saya sering memperoleh rating 3 daripada 4. Saya masih ingat pernah bergurau dengan bos, ‘Kalau saya tak dapat rating 3, saya nak keluar.’ Bila dikenang semula, memang berani betul saya masa itu. Mungkin sebab masih muda.
Kesian bos saya waktu tu, terpaksa layan staff yang celupar macam saya. Hahaha
Walaupun prestasi saya baik, saya sedar satu perkara. Bekerja kuat sahaja tidak semestinya mengubah kedudukan kita. Saya tak nak salah kan semua orang macam segelintir rakan saya pada waktu itu. Bagi saya, tiada yang akan bantu kita selain diri kita sendiri.
Oleh sebab itulah pada tahun 2011 saya menyambung pengajian Ijazah di UiTM Puncak Perdana. Saya mahu meningkatkan nilai diri supaya saya ada banyak peluang untuk naik pangkat. Harapan saya mudah, saya mahu memberi kehidupan yang lebih baik kepada keluarga saya.
Satu pengajaran yang saya dapat sepanjang tujuh tahun pertama bekerja di syarikat ini. Jangan berhenti belajar. Kemahiran boleh dipelajari, pengalaman boleh dikumpulkan, tetapi nilai diri hanya akan meningkat apabila kita sendiri sanggup berubah. Berubah menjadi lebih baik walaupun ia perit.
Begitulah…
#BapakLabur
Leave a comment