Umur 40 Tahun Masih Belum Berjaya? Kisah Vozinha Ini Mungkin Buat Kita Semua Berfikir Semula

Kita selalu dengar orang cakap, kalau umur dah masuk 40 tahun tapi masih belum berjaya, mungkin peluang kita dah semakin tipis. Tengok orang lain dah pegang jawatan besar, gaji tinggi, hidup selesa, kita pula masih bekerja keras setiap hari demi keluarga.

Itulah hakikat kehidupan, setiap orang ada perjalanan hidup yang berbeza. Kisah penjaga gol Cape Verde, Vozinha, membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya datang ketika kita muda. Tapi ia datang selepas umur 40 tahun.

Sebelum Piala Dunia FIFA 2026, hampir tiada siapa yang mengenali nama Vozinha. Beliau bukan pemain kelab ternama, bukan bintang yang selalu masuk berita dan bukan juga pemain yang diburu kelab-kelab besar Eropah. Beliau hanya seorang penjaga gol yang terus bermain, terus berlatih dan terus percaya kepada impiannya walaupun tidak mendapat perhatian dunia. Kadang-kadang, itulah kehidupan kita juga.

Apabila Cape Verde layak ke Piala Dunia buat pertama kali, ramai menganggap mereka sekadar pasukan pelengkap. Tetapi setiap kali lawan menyerang, Vozinha berdiri teguh di hadapan gawang. Beliau melakukan penyelamatan demi penyelamatan sehingga peminat bola sepak di seluruh dunia mula tertanya-tanya, “Siapa sebenarnya mamat ini?” Dari seorang yang tidak dikenali, namanya tiba-tiba menjadi sebutan seluruh dunia.

Kemuncaknya sudah tentu ketika menentang Argentina. Walaupun Cape Verde tewas, aksi Vozinha benar-benar mencuri perhatian. Sepanjang kejohanan, beliau merekodkan 18 penyelamatan, dua clean sheet dan kadar penyelamatan sekitar 78%. Bukan kerana pasukannya menjadi juara, tetapi kerana semangat juangnya membuat seluruh dunia menghormati seorang pemain yang sebelum ini hampir tiada siapa kenal.

Sebenarnya, ramai antara kita sedang melalui cerita yang hampir sama. Kita keluar bekerja setiap pagi, balik lewat petang, berusaha cari pendapatan yang lebih baik, menyimpan untuk masa depan dan cuba memberi kehidupan yang lebih selesa kepada keluarga. Mungkin hari ini nama kita tidak dikenali, usaha kita tidak dipuji dan pencapaian kita tidak menjadi tajuk berita. Tetapi itu tidak bermaksud usaha kita sia-sia.

Saya percaya umur 40 tahun bukan penamat. Malah, bagi sesetengah orang, itulah permulaan kepada bab yang paling indah dalam hidup. Pengalaman yang kita kumpul selama ini, cabaran yang kita tempuhi dan kesabaran yang kita bina sebenarnya sedang menyediakan kita untuk peluang yang lebih besar. Yang penting, jangan berhenti memperbaiki diri walaupun hasilnya belum nampak hari ini.

Selepas tamat Piala Dunia 2026, hidup Vozinha berubah hampir sekelip mata. Pengikut media sosialnya meningkat daripada sekitar 50,000 kepada lebih 25 juta orang, dan beliau turut dikaitkan dengan tawaran menyertai Inter Miami selepas prestasi luar biasanya di Piala Dunia 2026.

Bayangkan, seorang yang hampir tidak dikenali akhirnya menjadi perhatian seluruh dunia. Sebab itu, jangan sesekali malu jika perjalanan hidup kita nampak perlahan. Teruskan berusaha, terus belajar dan terus percaya. Kita tidak tahu bila Allah akan membuka pintu rezeki yang boleh mengubah seluruh hidup kita.

P/S : Saya pun sama, dah umur 41 tahun. Tengah berusaha mencari kegemilangan hidup saya. Semoga saya dapat capai apa yang saya nak capai. Amin….

#BapakLabur

Leave a comment