
Bila mula serius merancang kewangan keluarga, saya sedar satu perkara yang saya perlukan pelaburan yang mudah difahami, konsisten dan tidak mengganggu fokus terhadap kerjaya saya serta keluarga. Sebab itu, saya memilih unit trust sebagai pelaburan utama. Bukan kerana ia paling hebat dan paling untung, tetapi kerana unit trust paling sesuai dengan matlamat dan gaya hidup saya yang suka dengan kehidupan yang tidak complicated sangat.
Sebab pertama ialah saya tidak perlu menjadi pakar saham untuk mula melabur. Duit saya diuruskan oleh pengurus dana yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam pasaran. Saya masih perlu belajar tentang pelaburan, tetapi tidak perlu memantau pasaran setiap hari. Bak kata orang Paris, Investir malin, vivre serein (Melabur dengan bijak, hidup dengan tenang).
Sebab kedua ialah saya boleh bermula dengan modal yang kecil tetapi konsisten. Tidak perlu tunggu jadi kaya baru nak melabur. Sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit. Yang penting bukan jumlah permulaan, tetapi disiplin untuk terus menambah pelaburan setiap bulan.
Sebab ketiga ialah unit trust memberi peluang untuk mempelbagaikan pelaburan. Dengan satu dana, duit kita boleh dilaburkan dalam banyak syarikat dan sektor yang berbeza. Malah, kita boleh melabur dalam pasaran negara yang berbeza-beza. Ini membantu mengurangkan risiko berbanding meletakkan semua duit dalam satu tempat. Orang Newcastle kata, don’t put all your eggs in one basket.
Sebab keempat ialah ia sesuai untuk matlamat jangka panjang saya. Saya bukan jenis pelabur yang suka beli hari ini, jual esok. Saya lebih selesa membina kekayaan secara perlahan tetapi konsisten. Slow and steady, insya-Allah sampai ke destinasi.
Sebab kelima ialah pelaburan unit trust membantu saya membina tabiat kewangan yang baik. Bila melabur secara bulanan, saya belajar mendahulukan simpanan dan pelaburan sebelum berbelanja. Lama-kelamaan, ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan bukannya beban kehidupan saya.
Bagi saya, tiada satu pelaburan yang sesuai untuk kita semua. Pilihlah instrumen yang kita faham, selari dengan matlamat hidup dan boleh dibuat secara konsisten. Jika anda baru mahu bermula, jangan terlalu sibuk mencari pelaburan yang paling sempurna. Mulakan dengan ilmu, melabur ikut kemampuan dan fokus pada perjalanan jangka panjang.
Biar perlahan, janji terus melangkah.
P/S : Saya mula melabur dalam unit trust semenjak tahun 2010 lagi. Anda dah mula melabur?
#BapakLabur
Leave a comment