
Bila melihat semula perjalanan kewangan saya, banyak perkara yang saya harap dapat diperbetulkan lebih awal. Kesilapan ini bukan kerana pendapatan yang kecil, tetapi kerana kurang ilmu dan perancangan. Saya kongsikan pengalaman ini supaya kita sama-sama dapat belajar dan mengelakkan kesilapan yang sama.
Kesilapan pertama ialah tidak mempunyai matlamat kewangan yang jelas. Dulu, saya hanya bekerja dan menerima gaji tanpa memikirkan sasaran jangka panjang seperti dana pendidikan anak, persaraan atau kebebasan kewangan. Bila tiada matlamat, kita mudah berbelanja tanpa arah.
Kesilapan kedua ialah lambat mula menyimpan dan melabur. Saya selalu fikir masih ada masa dan boleh bermula kemudian. Hakikatnya, lagi awal kita bermula, lagi besar manfaat yang boleh diperoleh daripada pertumbuhan jangka panjang.
Kesilapan ketiga ialah meningkatkan gaya hidup setiap kali pendapatan bertambah. Kenaikan gaji sepatutnya membantu membina aset, tetapi saya lebih banyak menambah komitmen dan perbelanjaan. Akhirnya, simpanan tidak berkembang seperti yang diharapkan. Tapi, hutang saya yang berkembang.
Kesilapan keempat ialah tidak mempunyai dana kecemasan yang mencukupi. Saya pernah menganggap gaji bulanan sudah memadai, sedangkan kehidupan sentiasa penuh dengan perkara yang tidak dijangka. Dana kecemasan memberi ketenangan apabila berdepan situasi sukar. Dana kecemasan juga dapat elakkan kita dari gunakan kad kredit atau hutang sewaktu kecemasan.
Kesilapan kelima ialah lambat mengambil perlindungan kewangan untuk keluarga. Sebagai seorang bapak, saya sedar bahawa perlindungan seperti Takaful bukan pilihan, tetapi satu keperluan untuk menjaga masa depan insan yang kita sayangi.
.
Kesilapan keenam ialah terlalu bergantung kepada satu sumber pendapatan. Hari ini, saya percaya setiap keluarga perlu berusaha membina pendapatan tambahan dan aset yang boleh menjana pendapatan pada masa hadapan.
Kesilapan ketujuh ialah kurang meluangkan masa untuk belajar tentang pengurusan kewangan. Ilmu kewangan membantu kita membuat keputusan yang lebih baik dan mengelakkan kesilapan yang boleh memberi kesan dalam jangka panjang.
Saya percaya ramai yang pernah melakukan kesilapan yang sama, termasuk saya sendiri. Yang penting, kita sedar dan mula berubah. Mulakan dengan langkah kecil—tetapkan matlamat, bina dana kecemasan, dapatkan perlindungan dan mula melabur secara konsisten. Biar lambat, janji jangan tak buat. Kerana pengurusan kewangan yang baik adalah hadiah terbaik untuk masa depan kita dan keluarga kita
P/S : Satu lagi, kesilapan saya kerana saya tidak berdisiplin. Selalu tangguh dan selalu ikut nafsu bila berbelanja. Anda semua ada masalah disiplin macam saya?
#BapakLabur
Leave a comment