Mitos: Kalau Kau Kerja Kuat, Bos Nampak. Bila Bos Nampak, Kau Senang Naik Pangkat

Bunyinya macam logik. Malah nampak adil. Tetapi realitinya dalam dunia korporat, kerja keras sahaja tidak cukup. Tidak cukup….

Bapak pernah berada dalam situasi ini. Datang awal. Balik lewat. Bekerja waktu bercuti dan bekerja sampai lewat malam. Berjaya siapkan semua tugasan tanpa banyak soal. Semua KPI capai. Target pun capai. Siap pernah capai sales antara top dalam nationwide. Tetapi KPI tak pernah dapat 3. Bila apply naik pangkat, tak pernah di panggil untuk interview.

Mesti ada antara kalian hadapi pengalaman seperti Bapak kan? Kenapa boleh jadi macam ni?

Kerja keras sahaja tidak cukup sebenarnya. Dalam dunia kerjaya, yang dinilai bukan sekadar usaha, tetapi nilai yang jelas dilihat dan dirasai oleh organisasi kita. Nilai itu pula sering bergantung kepada perspektif ketua kita pada waktu tersebut. Berbeza ketua, berbezalah perkara yang dihargai dan dianggap bernilai.

Jadi, sebagai seorang pekerja. Kita kena pandai menilai ketua kita. Ketua kita nak apa. Apa direction dia. Dalam masa yang sama, kita kena buat 3 perkara ini jika kita bercita-cita nak naik pangkat. Bapak pun amalkan sebenarnya. Itu yang Bapak dapat naik pangkat pengurus pada tahun 2024.


Kerja Keras ≠ Kerja Strategik

    Kerja keras bermaksud kita buat banyak perkara dalam pekerjaan kita. Kerja strategik pula bermaksud kita buat perkara yang betul. Jika kita terlalu sibuk menyelesaikan tugasan operasi, kita mungkin menjadi “terlalu penting untuk diganti”  tetapi bukan “layak untuk dipromosi”.

    Dari pemerhatian Bapak. Organisasi akan menaikkan pangkat seseorang berdasarkan:

    • Keupayaan menyelesaikan masalah besar
    • Kebolehan memimpin orang lain
    • Kejelasan membuat keputusan
    • Impak kepada hasil syarikat

    Bukan semata-mata banyak kita buat kerja. Berjam-jam kita bekerja. Ganggu waktu cuti kita. Ganggu waktu malam kita.


    Visibility Lebih Penting Dari Diam Diam Bekerja

    Ada pekerja yang tekun bekerja dalam diam, mengharapkan usaha mereka disedari tanpa perlu bersuara. Ada juga yang bijak mengangkat hasil kerja mereka dengan penyampaian yang jelas, tersusun dan profesional. Dalam dunia korporat, ia bukan soal siapa paling letih atau paling lama di pejabat. Sebaliknya, ia tentang siapa yang paling jelas menzahirkan nilai dan beri impak kepada organisasi.

    Jika ketua tidak nampak kesan daripada sumbangan kita, sukar untuk mereka mempertahankan nama kita ketika mesyuarat penilaian KPI. Akhirnya, nama kita mudah terpinggir daripada senarai calon kenaikan pangkat.


    Naik Pangkat Adalah Tentang Kepercayaan

    Jawatan lebih tinggi bukan ganjaran untuk kerja keras semata-mata. Ia adalah amanah. Pihak pengurusan akan bertanya:

    • Boleh tak dia urus konflik?
    • Boleh tak dia buat keputusan dalam tekanan?
    • Boleh tak dia jaga reputasi organisasi?

    Kerja keras membuktikan disiplin. Tetapi kepimpinan membuktikan kesediaan kita untuk hadapi cabaran yang lebih besar.


    Jadi Apa Yang Perlu Kita Buat?

    • Fokus pada impak, bukan hanya berapa banyak aktiviti kerja kita
    • Bangunkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan
    • Fahami objektif besar organisasi
    • Bina hubungan profesional yang sihat
    • Sentiasa minta maklum balas tentang prestasi

    Kerja keras tetap penting. Tetapi tanpa strategi, ia hanya membuat kita penat, bukan meningkat. Itu lah yang Bapak pernah hadapi dulu. Kerja banyak tapi tak di pandang untuk KPI yang lebih baik dan tak di pandang untuk di calonkan untuk kenaikan pangkat.

    Apa yang Bapak belajar lepas beberapa tahun.

    Kerja keras adalah asas. Namun kenaikan pangkat memerlukan kombinasi antara kompetensi, strategi, persepsi, dan kepercayaan. Dalam dunia kerjaya, bukan siapa paling lama di pejabat. Tetapi siapa yang paling bersedia untuk memikul tanggungjawab lebih besar.

    Kalau kita sedang bekerja keras hari ini, bagus. Tapi lagi bagus kalau kita tambah sikit strategy. InsyaAllah, peluang kenaikan akan lebih terbuka untuk kita.

    Sekarang cuba tanya diri kita. Adakah kita jsedang bekerja dengan lebih bijak?

    #BapakMenulis

    Leave a comment